UNSUR DAKWAH DALAM PANTUN DAN PERIBAHASA MELAYU: SUMBANGANNYA KE ARAH MELAHIRKAN BELIA BERINTEGRITI
1.0 Pengenalan
Dalam kertas kerja ini, penulis mengupas serba sedikit unsur dakwah dalam pantun dan peribahasa dalam melahirkan belia berintegriti. Ini kerana belia adalah pewaris dan pemimpin negara pada masa akan datang. Apatah lagi belia merupakan aset penting dan peneraju kepimpinan negara dalam senario globalisasi pada hari ini. Oleh itu, warga belia menjadi tunggak utama dalam pembangunan akhlak dan ketamadunan bangsa dan negara. Sehubungan itu, warisan seni budaya perlulah diterapkan kepada warga belia amnya sebagai pembentuk dan jati diri belia itu sendiri. Kesejahteraan dan keamanan sesebuah negara sebenarnya bergantung kepada kualiti para belia hari ini. Sekiranya mereka dapat meningkatkan kecemerlangan diri dan mengikis akhlak mazmumah dalam diri mereka sudah pasti belia Melayu dan Islam hari ini tidak akan dipandang rendah oleh bangsa lain. Melalui seni pantun dan peribahasa Melayu yang telah direka oleh generasi silam mampu memberi sumbangan dalam menerapkan unsur positif ke arah belia berintegriti. Tidak salah kita katakan dalam perumpamaan Melayu ada menyebut bahawa warga belia adalah “orang muda selendang dunia.”
2.0 Pengertian Dakwah dan Uslubnya
Dakwah dari segi bahasa bermaksud seruan, ajakan, panggilan dan nasihat. Manakala pengertian dakwah dari segi istilah pula ialah ajakan atau panggilan kepada kebenaran atau kesejahteraan iaitu panggilan atau ajakan kepada ajaran Islam dan mengamalkannya. Dalam erti kata yang lain, dakwah ialah satu seruan ke arah melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
”Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang dari segala perkara yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah”
(Surah Ali Imran: 110)
Tanggungjawab melaksanakan amar ma’ruf wa nahy munkar dijelaskan dalam sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
”Barang siapa di antara kamu yang melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, jika tidak mampu, hendaklah (mengubahnya) dengan lidahnya. Jika sekiranya tidak (juga) berkemampuan, maka hendaklah (mengubahnya) dengan hati. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman”
(Sahih Muslim)
Namun uslub dan medan berdakwah mempunyai pelbagai cara dan wadah. Antaranya ialah menerusi penguatkuasaan undang-undang, pendidikan, kesenian dan sebagainya. Dalam kepelbagaian ini, dakwah bilhikmah perlulah sentiasa dijadikan panduan. Sebagaimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
”Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”
Al-Nahl:125
Uslub dakwah yang dibentang secara tidak langsung oleh ayat di atas ialah:
a) Hikmah
b) Nasihat-nasihat yang baik
c) Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik
Antara medan berdakwah yang sangat berkesan ialah menyampaikan dakwah bil hikmah. Ia dapat di aplikasikan menerusi kegiatan kesusasteraan ataupun kesenian. Ini kerana kesusasteraan tersebut mempunyai nilai dan ciri-ciri halus dan mendalam melaui aspek seni bahasanya. Secara tidak langsung dapat menanamkan unsur kebaikan dan contoh yang baik kepada umat Islam. Seni bahasa yang indah mampu memperkatakan atau menyampaikan dalam konteks perasaan, kepercayaan, emosi, serta falsafah hidup yang menjadi anutan seseorang atau masyarakatnya
Oleh itu, dalam konteks ini pantun dan peribahasa amat sesuai sebagai medium dakwah yang paling efektif khususnya ke arah melahirkan belia berintegriti. Sewajarnyalah mampu menjana keimanan yang luhur kepada Allah dan meningkatkan kualiti kehidupan sebagai mukmin yang sejati.
3.0 Belia dan Integriti
Menurut Kamus Dewan (1994), belia bermaksud muda belia, sangat muda, golongan muda secara keseluruhannya yang terdiri daripada pemuda dan pemudi.
Kementerian Belia dan Sukan dalam ”Draf Kajian Semula Dasar Belia Negara” mentakrifkan belia ”mereka yang berumur antara 15 hingga 25 tahun.” Alasannya, ia selaras dengan takrif yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diguna pakai oleh banyak negara. Manakala Commanwealth Youth Programme (CYP) pula menganggap kumpulan umur 18 hingga 35 tahun sebagai belia.
Dalam buku ”Pembentukan Dasar Belia Selangor 2005: Satu Pengamatan”, belia ditakrifkan berdasarkan peringkat umur dari 15 hingga 40 tahun. Daripada perspektif Islam pula, belia dikaitkan dengan umur baligh. Menurut Imam Syafie, umur baligh bagi perempuan ialah 10 tahun qamariyyah. Lelaki pula ialah 12 tahun qamariyyah (Abu Abdullah Muhammad, 1967). Walau bagaimanapun, sama ada cepat atau lambatnya umur baligh individu dipengaruhi oleh keadaan serta persekitaran di mana kanak-kanak itu berada.
Berdasarkan takrifan-takrifan di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa golongan belia ialah merujuk kepada mereka yang berumur antara 10 hingga 40 tahun.
Justeru itu, peringkat umur belia merupakan peringkat kehidupan yang paling berharga kerana pada usia inilah mereka berada pada tahap yang paling optimum dari segi tenaga, bakat dan potensi yang ada. Bahkan, menurut Jabatan Perangkaan, jumlah mereka yang berumur antara 15 hingga 24 tahun pada tahun 1995 ialah 3.79 juta (18.89 peratus daripada jumlah penduduk 22.43 juta). Manakala dalam kertas Cadangan Dasar Pembangunan Belia Negara (1995) pula, dinyatakan jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 39 tahun pada tahun 1995 adalah 8.39 juta (41.80 peratus), dan pada tahun 2000 adalah 9.25 juta (41.24 peratus). Data ini menunjukkan bahawa belia merupakan golongan majoriti dalam negara. Oleh itu, golongan beliau sudah pasti mempunyai sumbangan yang besar kepada pembangunan negara dan masyarakat.
Seorang penyair Arab moden Ahmad Shauqi Bey (1868-1932) pernah menyebut, ”Keunggulan bangsa kerana akhlaknya, runtuh akhlak runtuhlah mereka.” Manakala Saidina Umar al-Khattab r.a pernah berkata; ”Jika mahu melihat rupa bentuk negara di masa hadapan lihatlah generasi belia hari ini.” Ini menunjukkan bahawa golongan belia yang berintegriti merupakan aset negara yang paling berharga.
Menurut Kamus Dewan (1994) integriti adalah kejujuran, keadaan sempurna dan utuh.
Manakala Oxford Dictionary mentafsirkan ’integrity’ sebagai quality of being honest and having strong moral principles, the state of being whole and undivided dan the condition of being unified or sound in construction.
Mengikut Pelan Integriti Nasional (PIN), integriti adalah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.
Kesimpulannya integriti adalah merangkumi setiap aspek kehidupan manusia yang mencakupi integriti kita dengan tuhan, sesama manusia dan dengan diri kita sendiri. Ia adalah apa yang kita rasa (hati), apa yang kita fikir, dan apa yang kita lakukan atas dasar yang betul dan ikhlas. Oleh itu, kegiatan dakwah hendaklah ditingkatkan agar dapat melahirkan belia yang berintegriti. Walau bagaimanapun, aktiviti dakwah tersebut hendaklah dipelbagaikan sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Antara aktiviti dakwah yang dapat meningkatkan integriti belia ialah menerusi kegiatan kesusasteraan seperti pantun, peribahasa dan lain-lain.
4.0 Pantun Melayu
Pantun adalah merujuk kepada sesuatu yang teratur sama ada berupa ucapan, pimpinan didikan atau pun kesopanan. Ia di anggap satu tradisi lisan yang boleh dikategorikan sebagai puisi rakyat lisan (Mohd Taib Osman, hlm xii)
Ide-ide dalam pantun umumnya lebih ringan dan sesuai untuk situasi yang menunjukkan keceriaan dan keseronokan terutamanya dalam majlis-majlis tertentu. Unsur bunyi turut ditekankan dengan rima akhirnya yang berselisih a-b-a-b. Timbangan suku kata pada tiap-tiap baris juga seimbang apabila baris itu diucapkan.
Umumnya pantun terdiri daripada ikatan lebih daripada empat baris, enam baris, lapan ataupun sepuluh. Apa yang pentingnya ialah pasangan antara baris-baris tersebut (Mohd Taib Osman, hlmn. 1). Biasanya dalam sebuah rangkap pantun mempunyai persoalan maksud dan pembayang. Disinilah kita perhatikan betapa erat hubungan pembayang dengan isinya.
4.1 Unsur dakwah dalam pantun
Secara umumnya, pantun boleh dikategorikan kepada pantun kanak-kanak, pantun orang dewasa dan pantun orang tua. Manakala tema persoalannya pula berhubung dengan nasihat, bentuk adat, perantau, budi, agama, kepahlawanan, jenaka, teka teki dan jenaka. (Pantun Melayu, hlm 22).
Dalam kertas kerja ini, penulis cuma menumpukan pantun yang mengemukakan persoalan atau tema belia dan integriti sahaja. Namun, tema-tema tersebut tidak boleh dipisahkan daripada nilai-nilai kemasyarakatan, akhlak dan ketauhidan kerana inilah yang dapat membentuk jati diri seseorang belia itu. Di sini penulis serba sedikit menghuraiakn beberapa tema pantun yang boleh dijadikan panduan kepada para belia amnya dalam memalhirkan belia yang berintegriti dalam negara ini.
a.Tema Adat
Di dalam pantun adat umpamanya, belia diseru supaya berpegang kuat kepada adat dan budaya. Belia yang berpegang kuat kepada adat dan budaya terutamanya yang berteraskan Islam tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing terutamanya budaya barat.
Lebat daun bunga tanjung
Berbau harum bunga cempaka
Adat dijaga pusaka dijunjung
Baru terpelihara adat pusaka
Menanam kelapa dipulau Buku
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar dengan kitabullah
b.Tema Keimanan
Keimanan adalah tonggak utama dalam diri individu belia itu sendiri. Tanpa keimanan kepada Allah dan Rasul, para belia akan mudah terpengaruh dengan anasir yang tidak sihat.
Sungguh indah pintu di pahat
Burung putuh di atas dahan
Kalau hidup hendak selamat
Taat selalu perintah Tuhan
Nabi Daud, Nabi Sulaiman,
Ketiga nabi Musa,
Teguhlah memegang iman
Pakai pendinding api neraka
Dari hari menghitung hari,
Dari bulan menghitung bulan,
Barangsiapa tak ingatkan hari
Tidakkan tahu nabi dan Tuhan
c.Tema Ilmu
Menghormati guru adalah antara akhlak yang paling mulia. Tanpa guru sudah tentu kita menjadi bangsa yang jahil. Oleh itu , wajib kita menghormati dan menghargai guru kerana telah memberikan ilmu yang berguna di masa hadapan.
Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul Satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu
Wahai anakanda intanpilihan
Gunakan pantun menyampaikan pesan
Maafkan olehmu tunjuk ajaran
Untuk keselamatan hari kemudian
Bintang tujuh sinar berseri
Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak dicari
Mana yang dapat janganlah lupa
d.Tema Qada’ dan Qadar
Ayam disabung jantan dipaut
Jika ditambat kalah laganya
Asam didarat ikan dilaut
Dalam belanga bertemu jua
Ajal, jodoh, rezki, maut adalah ditangan Tuhan. Semua yang berlaku keatas makluk adalah diatas qada’ dan qadar Allah. Sewajarnya sebagai umat Islam wajib percaya kepada ketentuanNya.
Berbunga lebat pohon rambutan
Hinggap tempua berjuntai kaki
Bila dapat memandang bulan
Jangan lupa rumput dibumi
Berdasarkan pantun peribahasa tersebut, jelas menunjukkan individu muslim yang baik sentiasa diterima dimana mereka berada. Melalui akhlak dan perilaku yang mulia dapat mencerminkan keperibadian yang luhur seiring dengan ajaran Islam. Rasulullah s.a.w dijadikan qudwah hasanah kepada umat islam diatas keunggulan keperibadiannya. Sepertimana Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasul itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah." (Surah al-Ahzab: 21)
Firmannya lagi :” Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung
( Al-Qalam : 4).
5.0 Peribahasa Melayu
Peribahasa ialah salah satu cabang dalam sastera rakyat atau sastera lisan. Ungkapan Melayu ini wujud dan berkembang seiring dengan perkembangan bangsanya. Ia berkembang melalui warisan dan ingatan daripada satu generasi kepada satu generasi. Ungkapan Melayu tradisional ialah suatu ucapan yang unik dalam susunan yang bersistematik.. Jika diteliti setiap ungkapan yang dituturkan itu mengandungi kebenaran logik dan kehalusan bahasa sehingga dapat diterima oleh pendengarnya. Contohnya seperti “dikulum menjadi manikam, dimuntahkan menjadi sekam”. Ungkapan ini pula ringkas dan padat. Mengandungi nilai-nilai keindahan yang kaya dengan unsure alam dalam gaya bahasa seperti personifikasi dan aliterasi.
5.1 Unsur dakwah dalam peribahasa
Sepanjang pengkajian penulis dalam kertas kerja ini, buku Kamus Pepatah, Bidalan dan Perumpamaan hasil tulisan Ainon Mohd dan Abdullah Hassan amat menarik pemerhatian penulis. Terdapat hampir 6 ribu koleksi pepatah, bidalan dan perumpamaan yang terkandung dalam penulisan tersebut dengan menggunakan bahasa yang mudah dan tepat. Penulis mengutip beberapa peribahasa yang boleh dikaitkan dengan belia Islam dalam melahirkan belia yang berakhlak dan bertamadun. Antara peribahasa tersebut ialah :
a. Bagaikan aur dengan tebing- saling bantu membantu
Setiap manusia yang bergaul dengan satu golongan mestilah ada caranya yang tertentu dan ada berbagai-bagai bentuk. Ini termasuklah daripada segi hubungan persahabatan, hubungan persaudaraan, hubungan rakan pergaulan dan yang lebih utama ialah hubungan dengan jiran tetangga. Hubungan ini tidak kira dalam bentuk apa sekalipun sama ada memberi bantuan, kerjasama dan sebagainya tetapi khusus kepada perkara-perkara kebaikan sahaja. Firman Allah yang bermaksud :
"Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara-perkara kebakikan dan ketaqwaan dan janganlah kamu toong-menolong dalam perkara-perkara kejahatan dan permusuhan." (al-Maidah: 2)
Dalam ayat al-Quran tadi jelas kepada kita bahawa kerjasama antara jiran itu amat penting untuk melahirkan suatu masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.
Begitu juga antara jiran tetangga hendaklah saling hormat-menghormati. Islam telah menetapkan beberapa hak bagi umat Islam terhadap jirannya antara lain ialah:
1. Sentiasa memberi salam kepadanya apabila bertemu.
2. Jangan terlampau banyak bertanyakan hal ehwalnya.
3. Selalu menziarahinya terutama ketika sakit.
4. Memaafkan segala kesalahan dan kesilapannya.
5. Hendaklah menutup segala keaiban dan kecelakaan dan diketahui oleh orang ramai.
Kalau kita lihat pada zaman Rasulullah s.a.w., kerjasama antara jiran khususnya dan antara umat Islam amnya adalah sangat erat hinggakan mereka sanggup menyerahkan segala harta kekayaan mereka untuk jihad di jalan Allah dan membentuk sebuah masyarakat Islam yang benar-benar bersatu padu, misalnya Othman bin Affan dan Abdul Rahman bin Auf, mereka ini sanggup membelanjakan harta kekayaan yang banyak untuk berjihad di jalan Allah dan menolong saudara mereka yang memerlukan pertolongan.
Berdasarkan keterangan di atas, generasi belia hari ini perlu menitikberatkan konsep bagai aur dengan tebing dalam kehidupan seharian. Ternyata peribahasa tersebut mempunyai kesan yang positif kepada generasi para belia sebagai pemimpin dimasa akan datang.
b.Habis akal baru tawakal – sikap bertawak diakhir pekerjaan
Dalam al-Quran, konsep tawakal disebut sebagai konsep yang menganugerahkan hidup dan semangat kepada manusia. Setiap ayat yang memerintahkan manusia untuk beramal dan menghilangkan rasa takut, senantiasa ungkapan: "...jangan takut dan bertawakallah kepada Allah". Bergantunglah kamu kepada Allah dan melangkah majulah ke depan. Bergantunglah pada Allah dan sampaikanlah kebenaran. Bergantunglah pada Allah dan janganlah gentar menghadapi musuh yang banyak jumlahnya.”Oleh itu para belia di negara ini perlulah memegang prinsip tawakal sebagai satu semangat dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab di atas muka bumi ini. Secara tidak langsung, peribahasa ini menjadikan kita panduan dalam meneruskan kehidupan sebagai khalifah.
Apabila para belia mempelajari konsep tawakal, sudah tentulah kehidupan mereka beroleh ketenangan, tidak menjauhkan diri dari tanggung jawab seperti diberikan kepada mereka. Oleh itu , konsep tawakal yang benar harus sesuai dengan apa yang diajarkan oleh al-Quran. Penulis berjaya membuktikan bahwa konsep tawakal dalam al-Quran merupakan konsep yang luar biasa yang perlu dihayati oleh generasi belia hari ini. Ia memberikan semangat dalam kehidupan seharian apatahlagi menghadapi pelbagai mehnah dalam perjalanan hidup. Tidak salah kita katakan peribahasa Melayu yang diwarisi oleh nenenk moyang kita memang ada kebenarannya.
c. Cepat kaki ringan tangan – rajin
Berdasarkan pepatah di atas , generasi belia perlulah mempunyai sikap yang rajin dalam ibadah dan aktiviti harian . Ia termasuklah soal sembahyang, berpuasa, melaksanakan amalan-amalan yang soleh yang lain. Imam Ghazali pernah berkata “ Rajin adalah penawar yang paling mujarab, sedangkan malas adalah racun yang sangat berbisa.”
d.Sabar penghilang penat,tekun pembawa dekat
e.Sehari selembar benang, lama- lama jadi sehelai kain
Peribahasa di atas yang telah dikemukakan oleh penulis adalah berkaitan dengan sifat sabar. Sifat ini telahpun disebut di dalam Al-Quran lebih dari 70 kali. Antaranya:
"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (menghadapi kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara kebajikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya"
(Ali Imran 3: 200)
Sumber kesabaran adalah iman dan taufiq daripada Allah. Ia tidak mungkin hanya bergantung kepada azam dan semangat semata-mata. Firman Allah:
"Dan bersabarlah kamu, bahawasanya kesabaran kamu itu tidak mungkin melainkan dengan Allah." (An-Nahl 16: 127)
Oleh itu para belia perlulah menanamkan sifat sabar dalam diri mereka apabila berhadapan dengan percubaan dan dugaan yang mendatang. Tanpa adanya sifat sabar akan lahirlah belia yang mempunyai sifat-sifat yang terkeji yang menjadikan dirinya tidak dihormati dan dijauhi oleh masyarakat sekeliling.
Luqman Al-Hakim telah memberikan nasihat kepada anaknya berhubung dengan sabar iaitu dalam konteks kewajipan solat serta mengerjakan al-amr bil ma'ruf wa an-nahy 'an al-munkar. Firman Allah:
"Dan bersabarlah kamu terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya ia merupakan perkara yang memerlukan keazaman (yang kuat)" (Luqman 31: 17)
Apabila generasi belia memegang prinsip sabar tersebut, Allah juga memberikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. Janji Allah dalam Firmannya:
"Dan berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. Iaitu mereka yang apabila ditimpa musibah mereka berkata 'Sesungguhnya kita ini adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kita kembali'. Mereka itulah yang (Allah berikan) kurniaan (dan pengampunan) serta rahmat ke atas mereka, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh petunjuk." (Al-Baqarah 2: 155-157)
Mereka yang kehilangan sesuatu kerana sabar, dijanjikan Allah dengan gantian yang lebih baik bahkan terbaik. Firman Allah yang bermaksud : "Dan Kami pasti memberikan ganjaran kepada mereka yang bersabar, dengan ganjaran yang terbaik di atas apa yang mereka lakukan" (An-Nahl : 127)
Sewajarnya generasi belia di negara ini perlulah memupuk sifat sehelai benang akhirnya menjadi selelmbar kain dalam pekerjaan dan amalan seharian. Di samping bersabar dalam melakukan perkara tersebut.
f. sepanjang-panjang tali berhujung juga – biar berapa lama hidup akan mati jua.
Warga belia perlulah berpegang kepada peribahasa di atas iaitu sepanjang-panjang tali terhujung juga yang membawa maksud walaupun usia kita panjang tetapi kita akan menemui kematian. Oleh itu para belia wajarlah mengetahui hakikat kematian dan mengambil pengajaran daripada kematian yang mana ia pasti berlaku kepada setiap manusia sebagaimana firman Allah SWT:
“Tiap-tiap yang berjiwa akan menemui mati.”
(Ali ‘Imran: ayat 185)
g. Jangan bercermin di air keroh – jangan ditiru perbuatan negatif
Pada hari ini, para belia terdedah kepada unsur negatif yang membawa kepada kerosakan negara. Antaranya gejala dadah, pelacuran, pergaulan bebas dan sebagainya. Sebagai belia yang menjadi pewaris negara di masa akan datang, perlulah menonjolkan kepimpinan dan teladan yang baik kepada generasi di bawahnya. Sebenarnya role model masyarakat yang bertamadun dan agung telahpun lahir di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Adalah perlu sekali kita mengambil contoh teladan mereka dalam usaha kita membentuk masyarakat yang mempunyai akhlak yang mulia. Generasi pertama tersebut memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri penting hingga melayakkan mereka menjadi ummat terbaik. Maka dengan itu konsep bercerminkan air yang keroh tidak patut di jadikan prinsip kepada generasi akan datang kerana ia akan membawa kepada kemunduran dan kerosakan dalam sesebuah masyarakat amnya umat Islam
.g. Jangan meludah ke langit. – jangan menderhaka
Warga belia juga adalah bertanggungjawab ke atas ibu dan bapa walaupun sudah berkahwin. Peribahasa di atas mengingatkan kepada kita semua sebagai hamba Allah supaya “ jangan meludah ke langit.” Ia bermaksud kita tidak dibenarkan sama sekali menderhaka kpeada kedua ibu bapa kita yang telah banyak berkorban masa dan tenaga semenjak kita dilahirkan sehinggalah kita dewasa.
Sebagai seorang anak, kita mestilah mentaati kedua ibu bapanya sedaya mungkin. Lebih-lebih lagi ibu yang sanggup berjaga malam demi menjaga kemaslahatan dirinya dan demi mempastikan dirinya itu tidak apa-apakan oleh serangga perosak seperti nyamuk, lipan dan sebagainya. Ia juga wajib mengelakkan dari melakukan sesuatu yang boleh menyentuh perasaan ibunya.
Belia yang soleh adalah yang sanggup berbuat baik kepada kedua ibu bapa, lebih-lebih lagi ibu mereka yang masih hidup. Jika gagal berbuat baik dan berbakti kepadanya pada hari ini tanpa alasan yang syar'i, maka seorang anak tersebut dinamakan sebagai anak yang derhaka. Anak derhaka tidak akan mencium bau syurga selagi tidak mendapat keredaan dari kedua ibubapanya.
h. Hidup tidak kerana doa, mati tidak kerana sumpah-Ajal Maut diitangan Tuhan
Hidup dan mati adalah ditangan Allah Taala. Itulah sebabnya kita sebagai umat Islam perlu diingatkan dengan kematian .Mati tidak mengenal sesiapa samada muda ataupun tua. Oleh itu pada hari ini , kematian di negara ini bukan sahaja daripada faktor sakit kronik tetapi kemalangan jalan raya, pembunuhan dan sebagainya. Oleh itu kita sebagai umat Islam perlulah menyiapkan bekalan di akhirat kelak.
i. Ilmu padi makin berisi makin tunduk – semakin pandai,semakin merendah diri
Dalam konteks peribahasa di atas, apabila seseorang itu berilmu , ia perlulah merendah diri ,tidak sombong dan angkuh pada orang lain. Ini kerana ilmu itu adalah anugerah Allah kepada hambanya. Begitu juga mempunyai bnayak ilmu tetapi disimpan sahaja untuk dirinya dan bukan untuk disebarkan kepada orang lain laksana pohon yang tidak berbuah.
Hakikatnya, orang-orang terdahulu mempunyai seribu satu peribahasa yang boleh kita jadikan panduan kepada kita semua. Ia bukan sahaja kepada golongan kanak-kanak, golongan warga tua bahkan para belia kita pada hari ini. Ungkapan peribahasa tersebut sebenarnya mempunyai makna yang tersirat dan tersurat wajar kita sematkan dalam hati dan pegangan kita dalam kehidupan seharian. Wajarlah belia diibaratkan ‘orang muda selendang dunia
6.0 Penutup
Sebagai belia Islam yang akan menerajui kepimpinan akan datang, wajarlah mempersiapkan diri dengan keimanan dan akhlak yang luhur. Kesenian pantun dan peribahasa menjadi simbol dalam melahirkan belia berintegriti di negara ini. Ternyata sumbangan pantun dan peribahasa mempunyai nilai-nilai dan keunikan yang tersendiri yang perlu diberi perhatian kepada kita sebagai masyarakat Islam.
Rujukan
Al-Quran
Ahmad Kamal Abdullah, 1988. Unsur-unsur Islam Dalam Puisi Melayu Moden, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
Ainon Mohd dan Abdullah Hassan, 2006. Kamus Pepatah, Bidalan dan Perumpamaan.PTS Publications.Batu Caves. Selangor
C. Israr, 1978. Sejarah Kesenian Islam. Penerbit Bulan Bintang: Jakarta
Mohd Taib Osman, 1975. Warisan Puisi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
Tenas Effendy, t.t. Pantun Sebagai Media Dakwah dan Tunjuk Ajar Melayu. Penerbitan UM: Kuala Lumpur
Monday, August 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment