Friday, August 7, 2009

Dakwah Hamka Menerusi karya Kreatif: Satu Sorotan




1.0 PENGENALAN

Karya kreatif dihasilkan bukan kerana dorongan estetika semata-mata, tetapi ia juga boleh digunakan untuk tujuan dakwah khususnya untuk penulis berlatarbelakangkan pendidikan Islam. Ia boleh dijadikan medan dakwah yang sangat berkesan kerana khalayaknya melewati sempadan geografi dan tiada batasan masa. Tugas ini boleh dijalankan sepanjang masa tidak kira siang atau malam. Asalkan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, ia menjadi saluran menyampaikan risalah yang tidak kurang pentingnya selain dalam bentuk percakapan (dakwah bil lisan) dan dalam bentuk perlakuan (dakwah bil hal).

Sementelahan pula, sudah terlalu banyak masyarakat dilambakkan dengan karya kreatif yang bebas nilai agama dengan tema-tema yang berbau cinta asyik maksyuk dan melalaikan. Justeru itu, menghasilkan karya kreatif yang berasaskan prinsip ’amal makruf nahi mungkar’ dapat menjadi alternatif kepada khalayak yang mahukan bahan bacaan berwawasan. Dalam hal ini, penghasilan karya kreatif bukan sahaja untuk tujuan dakwah bahkan juga merupakan tuntutan fardu kifayah.

2.0 KONSEP DAKWAH DALAM ISLAM

Pengertian dakwah dari segi bahasa bermaksud seruan, ajakan, panggilan dan nasihat. Ia berasal daripada perkataan (da’a), (da’awa), dan (du’a) yang bererti mencenderungkan dan menggalakkan kepada sesuatu

Manakala pengertian dakwah dari segi istilah pula ialah ajakan atau panggilan kepada kebenaran atau kesejahteraan iaitu panggilan atau ajakan kepada ajaran Islam dan mengamalkannya (Kamus Istilah Fiqh, 1997:55-56). Menurut Ibn Taimiyah di dalam kitabnya Majmu’ al-Fatawa, dakwah adalah menyeru manusia agar beriman dengan Allah s.w.t. serta beriman dengan apa yang telah di bawa oleh para RasulNya, membenarkan apa yang telah diberitakan oleh mereka dan taat kepada perintah mereka (Ibn Taimiyah: 157). Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

”Katakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka: Inilah jalanku, aku menyeru (kamu) dengan cara yang betul, aku dan siapa yang mengikutku, dan maha suci Allah, dan bukanlah aku dari golongan orang-orang yang musyrikin.”

(Yusuf:108)

Orang yang menjalankan urusan dan memikul beban dakwah supaya ianya sampai kepada manusia disebut sebagai al-Da’ie. Ia adalah kata nama pelaku iaitu kata nama bagi orang yang melakukan dakwah.

Dakwah tidak boleh dipertanggungjawabkan ke atas bahu satu-satu golongan semata- mata seperti imam, guru agama dan sebagainya. Tetapi , ia adalah tanggungjawab semua orang Islam. Melaksanakannya adalah satu ibadah dan akan diberi ganjaran pahala oleh Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

”Barangsiapa yang mengajak kepada suatu petunjuk yang benar, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang mengikutnya, tiada kurang dari pahala mereka walau sedikit pun. Dan barangsiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka atasnya dosa sama seperti dosa yang mengikutnya, tiada kurang dari dosa mereka walau sedikit pun”
(Riwayat Ibnu Majah)

Dakwah adalah kesinambungan dari tugas para Nabi dan Rasul. Di antara tujuan dakwah adalah:
Mengajak manusia ke arah persekitaran yang selamat. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
”Allah menyeru (manusia) ke Darussalam (syurga) dan menunjuki orang yang dikehendakiNya kepada jalan yang lurus (Islam).”
(Yunus:25)
· Mengajak manusia ke jalan Allah. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

”Serulah (wahai Muhammad) ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan debatilah mereka dengan cara yang terbaiklah sekali. Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia juga lebih mengetahui dari hal orang-orang yang mendapat petunjuk.”
(Al-Nahl:125)

· Mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka melakukan kejahatan. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

”Hendaklah ada di antara kamu suatu ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat baik dan mencegah berbuat mungkar, dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.”
(Ali Imran:104)

· Menyeru manusia kepada Allah s.w.t. dan beramal soleh. Sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Siapakah yang lebih baik perkataannya di antara orang yang menyeru kepada Allah, lalu dia mengamalkan perbuatan yang saleh seraya berkata sesungguhnya aku ini dari kaum muslimin.”
(Fussilat:33)


3.0 PENULISAN KREATIF MEDAN PENULIS DAKWAH

Menurut Kamus Dewan, perkataan kesenian berasal daripada kata akar 'seni' yang membawa pelbagai pengertian seperti halus, tipis, enak didengar, karya yang diciptakan dengan bakat, hasil daripada sesuatu ciptaan dan kebolehan mencipta sesuatu yang indah-indah. Justeru itu, kata terbitan 'kesenian' boleh membawa maksud perihal seni yang berkaitan dengan seni dan keindahan (Kamus Dewan 1989:1169-71). Ia merupakan hasil dari usaha manusia dalam menggarap dan mengekspresi bakatnya yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t.

Penulisan Kreatif merupakan salah satu dari cabang kesenian. Penulisan ialah proses memilih, menyatukan, menyusun, dan mengembangkan idea ke dalam ayat dan perenggan yang efektif. Manakala 'kreatif' pula adalah perkataan Inggeris 'creative' yang bermaksud mempunyai daya kreatif atau daya cipta. Disini dapat difahamkan bahawa penulisan kreatif ialah keupayaan atau ketrampilan manusia berkreativiti dalam bentuk penulisan yang lazimnya bersifat non-ilmiah atau fiksyen seperti cerpen, novel, pantun, dan sebagainya.

Dr. Hashim Awang dalam bukunya; Hakikat Kesusasteraan menegaskan, penulisan kreatif itu adalah hasil kesusasteraan dan kesusasteraan itu pula membawa makna ’seni sastera’ maka bahan yang tercipta olehnya tidak lain daripada rakaman manusia tentang apa yang di lihat, apa yang dialaminya, apa yang difikirkan dan apa yang dirasakan dari berbagai-bagai aspek kehidupannya yang menarik untuk semua manusia.

Antara peranan atau hasil karya kreatif ialah bertujuan:

Menanam semangat dan nilai-nilai kemanusiaan
Menanamkan semangat cintakan tanah air dan bangsa
Mendidik pembaca dengan harapan dapat mengamalkan keperibadian yang seimbang dengan memainkan peranannya sebagai anggota masyarakat
Melahirkan individu-individu yang berminat dan mengenali karya-karya yang bermutu
Menanamkan nilai-nilai jati diri dan ketamadunan sesuatu bangsa

Menyentuh hakikat ini, para Da’ie khususnya para penulis yang berlatar pendidikan agama haruslah mengambil kesempatan yang sebaik mungkin dengan menjadikan penulisan kreatif sebagai medan untuk berdakwah. Melalui genre sastera; novel, cerpen, puisi dan drama, nilai-nilai agama dapat disalurkan baik secara langsung mahupun tidak langsung kepada khalayak (penggemar sastera tersebut). Apatah lagi jika disorot kepada perkembangan novel Melayu peringkat awal (sebelum perang dunia kedua) golongan agamalah yang menjadi perintisnya sebelum dikembangkan oleh golongan intelek Melayu terutama lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak.

Di Malaysia, antara pelopor yang menjadikan penulisan kreatif khasnya novel sebagai saluran berdakwah ialah Syed Syeikh al-Hadi menerusi novel Faridah Hanum yang diterbitkan dalam tahun 1925 dan Ahmad Rashid Talu menerusi karyanya Kawan Benar (1927) dan Iakah Salmah? (1928). Manakala di Indonesia ialah Martha (Maisir Thaib) menerusi novel Oestaz A Ma’sjoek dan Angkatan Baroe oleh Hamka yang diterbitkan dalam tahun 1939.


4.0 HAMKA SEBAGAI PENULIS DAKWAH
4.1 Biografi Hamka
Salah seorang ulama nusantara tersohor yang menggunakan metod ini sebagai salah satu daripada pendekatan dakwahnya ialah Hamka. Nama sebenar beliau ialah Profesor DR. Haji Abdul Malik bin Sheikh Abdul Karim bin Sheikh Muhammad Amrullah.Dilahirkan pada 13 Muharam 1362H bersamaan dengan 17 Februari 1908M di Kampung Molek, Sungai Batang, Maninjau, Minangkabau, Sumatera Barat, Indonesia. Beliau adalah putera kepada Dr. Syeikh Abdul Karim bin Syeikh Amrullah dengan isterinya Siti Safiah. Bapanya yang terkenal dengan gelaran Haji Rasul, merupakan seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Minangkabau, Indonesia.

Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Dasar Maninjau sehingga darjah dua. Ketika berusia 10 tahun, beliau meneruskan pendidikan di Sumatera Tawalib iaitu sebuah pondok pesantren yang didirikan oleh bapanya di Padang Panjang. Selain di pesantren, beliau juga mengikuti kuliah agama di surau dan masjid yang disampaikan oleh ulama’ terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rashid, Sultan Mansur, R.M. Surjoparonto dan Ki Bagus Hadikusumo.

Sungguhpun tidak mendapat pendidikan formal yang tinggi, tetapi melalui penguasaan bahasa Arabnya yang baik, beliau dapat menelaah dan menyelidiki karya ulama’ dan intelektual Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti, Hussain Haikal dan lain-lain lagi. Selain itu, beliau juga dapat meneliti karya sarjana Barat seperti Albert Camus, William James, sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sarte, Karl Marx dan lain-lain lagi yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Arab

Kegemaran Hamka yang rajin membaca dan bertukar pandangan dengan tokoh-tokoh ilmuan lain banyak membantu beliau meningkatkan lagi kefahamannya baik dari segi agama, budaya mahupun senario politik semasa. Antara tokoh-tokoh terkenal yang sering bertukar pandangan dengan beliau ialah HOS Tjokroaminoto, Raden Mas Surjoparonoto, Haji Fachrudin, A.R. Sultan Mansur dan Ki Bagus Hadikusomo. Sambil berdiskusi kesempatan ini juga digunakan untuk mengasah bakatnya sehingga menjadi seorang pemidato yang handal.

Dalam lapangan pekerjaan, beliau seorang ulama’ yang gigih dan aktif berorganisasi khususnya dalam Pertubuhan Muhammadiyah. Selain itu, beliau juga merupakan wartawan, penulis, editor dan penerbit kepada beberapa buah akhbar seperti Pelita Andalas, Seruan Islam, Bintang Islam dan Seruan Muhammadiyah sejak tahun 1920an lagi. Justeru itu, kerjaya ini sedikit sebanyak dapat membantu beliau maju dalam arena penulisan sama ada karya ilmiah mahupun karya kreatif. Antara karya ilmiah terbesarnya ialah Tafsir al-Azhar (5 jilid) dan Sejarah Umat Islam. Manakala, karya kreatif antaranya Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Di Bawah Lindungan Kaabah dan Merantau Ke Deli.

Di atas sumbangan dan jasanya itu, beliau telah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti Doktor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974 dan gelaran Datu Indono dan Pengeran Wiroguno daripada kerajaan Indonesia.

Hamka telah pulang ke rahmatullah dunia pada 24 Julai 1981, dalam usia 73 tahun. Pemergiannya merupakan satu kehilangan bukan sahaja kepada negara kelahirannya, Indonesia, bahkan turut diratapi oleh umat Islam di seluruh Nusantara.

4.2 Penulisan Kreatif Sebagai Wadah Dakwah

Hamka adalah insan yang istimewa kerana beliau bukan sahaja seorang pemidato yang hebat tetapi juga seorang yang berbakat besar dalam bidang penulisan. (Bustanuddin Agus, 2001:10). Dalam hal ini, DR. Mukti Ali pernah berkata:

” Kalau mendengar kalimat-kalimat Buya, saya langsung menemukan sesuatu yang selama ini saya cari. Saya sangat sulit mencari orang seperti Buya sebab setiap kalimat yang diucapkan memikat lawan bicaranya. Rasa-rasanya harus minta tambah kalau Buya mengakhiri pembicaraannya.”

Manakala dalam bidang penulisan, sumbangannya memang tidak dapat dinafikan lagi. Sehingga ke akhir hayatnya, beliau telah menghasilkan sebanyak 118 buah karya yang masih menjadi rujukan oleh umat Islam hingga ke hari ini. Suatu pencapaian sangat luar biasa yang jarang dicapai oleh mana-mana tokoh ilmuan Islam.

Disamping sebagai ulama’, pujangga dan wartawan, beliau juga turut dinobatkan sebagai sasterawan kerana berjaya menjadikan penulisan kreatif sebagai wadah untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan kesedaran beragama dikalangan umat Islam.Keistimewaan ini telah melonjakkan namanya sehingga dia di gelar sasterawan Islam, sebagaimana yang diungkapkan ketika beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia:

”Sebagai seniman, Haji Abdul Malik Karim Amrullah amat peka, sebagai ulama ia membela agama, sebagai pendakwah ia menyebarkannya melalui karya sasteranya sehingga ia digelar sasterawan Islam...”

(Razali Haji Nawawi, 1974)

Walaupun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang kesusasteraan, tetapi sikapnya yang suka membaca terutama buku-buku sastera dan sejarah serta lain-lain makalah secara tidak langsung telah memupuk minat beliau dalam bidang tersebut. Tambahan pula, sebagai mubaligh beliau banyak mengembara dari satu tempat ke satu tempat. Melalui pembacaan yang pelbagai dan dikayakan dengan pengalaman hidup inilah Hamka memajukan dirinya terutamanya di dalam bidang penulisan hingga ke akhir hayatnya.

Sebagai seorang da’i, Hamka meletakkan kepentingan dakwah Islamiah melebihi dari kepentingan yang lain. Melalui gaya bahasanya yang menarik dan mudah difahami, beliau mengkritik keadaan masyarakat Islam yang terumbang-ambing disebabkan oleh sogokan adat yang pincang, fanatik terhadap kaum dan tidak ada fleksibiliti seperti yang dianjurkan oleh Islam (Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002:7).

Antara persoalan kehidupan yang dikemukakan Hamka dalam karya kreatifnya ialah pertentangan individu miskin dan kaya, beradu nasib di perantauan, rintihan manusia bawahan yang menderita dan keruntuhan nilai budi akibat terlalu mengutamakan kebendaan.Manakala, watak-watak yang dipaparkannya merupakan pertentangan antara haq dan batil.Gambaran ini jelas kelihatan lewat karya-karya kreatif beliau seperti Tenggelamnya Kapal van der Wijck (1938), Di Bawah Lindungan Ka’abah (1937), Keadilan Ilahi (1939), Merantau Ke Deli (1939), Tuan Direktur (1940), Menunggu Beduk Berbunyi (1949) dan lain-lain lagi.

5.0 SUMBANGAN DAN KEPENTINGANNYA KEPADA PERKEMBANGAN DAKWAH ISLAMIAH HARI INI



Sebagai seorang yang terdidik dengan pengetahuan agama, beliau bukan sekadar bersastera sebagaimana sesetengah penulis kreatif yang lain tetapi turut menampilkan ajaran-ajaran Islam mengenai akidah, ibadah, muamalah, akhlak, falsafah dan sejarah. Justeru itu, penulisan kreatif Hamka telah berjaya membimbing masyarakat ke arah jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t dan menepati kehendak sastera Islam. (Shahnon Ahmad, 1981:6)

Selain sarat dengan nilai-nilai akhlak dan tasawuf, keunggulan penulisan kreatif Hamka juga dilihat dari segi gaya bahasanya yang halus, menawan dan merawan perasaan sehingga dapat mengetuk pintu hati pembaca. Ini secara tidak langsung objektif dakwahnya tercapai selain dapat menikmati hasil seni yang dipaparkannya itu. Justeru itu, dakwah Hamka menerusi seni penulisan kreatif bukan sahaja mendapat sambutan ramai bahkan telah menanamkan bibit pertumbuhan sastera Islam yang dapat dijadikan landasan oleh sasterawan-sasterawan yang cintakan Islam. (Abdul Rahman Abdul Azizi, 2002:11)


Walaupun Hamka telah hampir 15 tahun meninggal dunia, sumbangannya kepada perkembangan dakwah Islamiah hari ini begitu ketara sekali. Karya-karyanya baik ilmiah mahupun kreatif masih dicari, dibaca dan diperkatakan. Ia bukanlah sekadar nukilan yang kaku tetapi sarat dengan idea-idea yang segar disulami dengan nilai-nilai yang suci lagi mulia.



6.0 PENUTUP

Usaha dakwah bukanlah sesuatu yang mudah. Selain daripada ilmu, ia memerlukan kreativiti agar seruan dakwahnya itu berkesan dan sampai kepada sasarannya.Tanpa pendekatan yang sesuai, hasilnya mungkin minima dan lebih malang lagi ia akan memberi persepsi yang negatif terhadap golongan pendakwah.

Mengarang, menulis dan menghasilkan sesuatu karya kreatif yang beriltizam dengan tujuan dan matlamat Islam juga merupakan salah satu daripada metod dakwah. Ia dicipta dan dihayati berasaskan prinsip ’amal makruf nahi mungkar’ dengan niat untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah. Dalam lain perkataan, penulisnya bukan sekadar untuk bersastera atau bercerita tetapi yang lebih penting menyelitkan ajaran akhlak, prinsip ajaran Islam, memperkukuhkan keimanan dan rasa pengabdian kepada Allah serta menuruti sunnah Nabi dalam suasana santai dan menghiburkan.

Penulis karya kreatif hari ini seharusnya mencontohi kegigihan Hamka, seorang ulama’ yang telah banyak berjasa meningkatkan dakwah Islamiah menerusi mata penanya. Biarpun pernah dianggap sebagai kiai yang cabul atau kiai I Love You, tetapi akhirnya tanggapan itu dapat ditepis apabila karya kreatif yang dihasilkannya itu berjaya meningkatkan kefahaman pembaca dan seterusnya membimbing mereka ke jalan yang diredhai oleh Allah s.w.t.
Rujukan

Al-Quran al-Karim.
Abdul Rahman Abdul Aziz, 2002. Pemikiran Etika Hamka. Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd: Kuala Lumpur.

Hashim Awang, 1998. Penciptaan dan Kemanusiaan (Dalam Cerpen dan Novel). Fajar Bakti: Selangor

Md Sidin Ahmad Ishak, 2001. Pemikiran Dan Perjuangan Hamka. Angkatan Belia Islam Malaysia: Bangi.

Shahnon Ahmad, 1981. Kesusteraan dan Etika Islam. Fajar Bakti: Kuala Lumpur.

http://id.wikipedia.org/wiki/Hamka

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Tuesday/Sastera/20060516074815/Article/

http://www.abim.org.my/minda_madani/

http://members.tripod.com/~sasteramaya/Hamka.htm

No comments:

Post a Comment